Hebatnya Malam Lailatul Qadar


Apakah Erti Lailatul Qadar?

Mengikut pengertian bahasa perkataan laila bermaksud malam. Manakala perkataan Qadar pula bermaksud mubarokatin (keberkatan) atau saat yang diperingati.

Jika kedua-dua perkataan itu digabungkan, maksud Lailatul Qadar adalah malam keberkatan atau malam yang diperingati.

Pernah seorang guru berkata perkataan Laila itu merujuk kepada jahil, manakala perkataan Qadar pula merujuk kepada berilmu (alim).

Jika kedua-dua perkataan itu digabungkan, ianya membawa maksud iaitu dari bersifat seorang yang jahil kembali bertukar kepada seorang alim yang berilmu.

Iaitu terbuka hijab pintu hatinya daripada seorang yang tidak mengenal Allah ianya berubah kepada seorang yang mengenal Allah swt.

Saat mengenal Allah itulah yang dikatakan saat keberkatan dan saat-saat yang tidak akan dapat dilupakan buat selama-lamanya.

Inilah pengertian malam Lailatul Qadar yang sebenar.


Kebanyakkan dari kita, bila sebut sahaja malam Lailatul Qadar yang mereka ingat hanya keajaiban pada bulan ramadhan. Pokok kayu-kayan akan jadi tunduk menyembah bumi, angin dan burung yang sedang berlalu, akan jadi berhenti dan sebagainya.

Sedangkan intisari daripada maksud Lailatul Qadar itu, sebenarnya bermaksud dari sifat seorang yang buta mata hatinya bertukar kepada cerah mata hatinya kerana memandang dan mengenal Allah.

MEMBURU LAILATUL QADAR

10 malam terakhir Ramadan adalah tempoh terbaik untuk kita menambah amalan dan memecut ganjaran pahala di bulan yang penuh kurnia ini.

Adapun, selain dari mengetahui malam-malam yang diketahui ganjil, Nabi Muhammad SAW menganjurkan agar umat Islam menumpukan amalan ibadah kita.

Semoga kita semua berjaya melalui fasa Ramadan terakhir ini dengan rahmat daripada Allah SWT.


Hari Apakah Dalam Bulan Ramadhan Berlakunya Lailatul Qadar ?

Pertama:
Daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma beliau berkata bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

تَحَيَّنُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ

Maksudnya: Carilah lailatul qadr itu pada 10 malam yang terakhir (bulan Ramadhan).
Riwayat Muslim (1165)

Kedua:
Daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: Carilah kalian lailatul qadr itu pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan.
Riwayat al-Bukhari (2017)

Berdasarkan kedua-dua riwayat yang sahih di atas, dapatlah kita faham dan ketahui bahawasanya lailatul qadr itu berlaku pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan dan ia berlaku pada salah satu malam dari malam-malam yang ganjil dalam sepuluh hari terakhir tersebut iaitu 21, 23, 25, 27, serta 29 Ramadhan.

Amalan-Amalan Pada 10 Malam Terakhir Bulan Ramadhan

Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَا لاَ يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh yang terakhir (dari bulan Ramadhan) melebihi ibadah baginda pada hari-hari yang lain.
Riwayat Muslim (1175)

Di antara amalan yang baginda lakukan adalah sebagaimana yang diriwayatkan juga oleh A’isyah R.anha:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَه وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W apabila masuknya sepuluh hari terakhir (bulan Ramadhan) baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, baginda menghidupkan malam harinya, dan baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah).‏

Riwayat al-Bukhari (2024)

Tiga ibadah dalam hadis di atas yang baginda Rasulullah S.A.W lakukan pada sepuluh malam terakhir adalah seperti berikut:

1. Mengetatkan ikatan di pinggang baginda.

Imam al-Hafiz Ibn Rajab Rahimahullah mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan perbuatan tersebut ada dua pendapat. Pertamanya ia membawa erti baginda bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah. Maksud yang kedua pula adalah Nabi S.A.W meninggalkan perbuatan bersama dengan isteri pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Ibn Rajab mengatakan pendapat yang paling sahih akan maknanya adalah baginda mengasingkan dirinya dari isteri-isteri baginda. Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 332).

2. Menghidupkan malam.

Yang dimaksudkan dengan menghidupkan malam ini ada dua kemungkinan:

Menghidupkan keseluruhan malam dengan ibadah.Menghidupkan majoriti atau kebanyakan malam dengan ibadah.
Ini kerana, menghidupkan separuh malam juga telah dianggap sebagai menghidupkan malam sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali. Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 329).

3. Membangunkan kaum keluarga untuk beribadah.

Ketika masuknya sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, baginda S.A.W mengejutkan isteri-isteri dan keluarga untuk bangun beribadah. Bahkan ada riwayat yang menunjukkan bahawa baginda mengetuk pintu Fathimah R.anha dan Ali bin Abi Thalib R.anhu lalu berkata:

أَلَا تَقُومَان فَتُصَلِّيَان

Maksudnya: Apakah kamu berdua tidak bangun lalu menunaikan solat ?
Riwayat al-Bukhari (1127)

Kelebihan Beribadah Pada Lailatul Qadar

Di antara kelebihan menghidupkan malam al-Qadr dengan ibadah adalah seperti berikut:

1. Dosa-dosa kecil diampunkan.

Ini adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.anhu beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam pada lailatul qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran berserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu.

Riwayat al-Bukhari (1901)

Yang dimaksudkan dengan qiyam (menghidupkan) di situ adalah dengan menghidupkan malam lailatul qadar dengan ibadah seperti solat tarawih, bacaan al-Quran, berzikir, berdoa, beri’tikaf, membaca al-Quran, bersedekah, dan segala amalan soleh yang lain.

2. Ganjaran amalan melebihi seribu bulan.

Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:

لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٞ مِّنۡ أَلۡفِ شَهۡرٖ

Maksudnya: Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. (Surah al-Qadr (3))

Doa Lailatul Qadar

Doa malam Lailatul Qadar yang dianjurkan untuk dibaca ketika malam al-Qadr


Maksudnya:

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Zat Yang Maha Pemaaf Dan Pemurah maka maafkanlah diriku".

Doa Untuk Bertemu Malam Lailatul Qadar

Antara doa yang boleh diamalkan untuk mendapat malam Lailatul Qadar di sepanjang Ramadhan seperti dibawah:


Maksudnya:

"Ya Allah, rezekikan kami Lailatul Qadar pada tahun ini dan juga pada setiap tahun. Dan bantulah kami untuk menghidupkan dan membangunkan malamnya dengan rahmatMu, Wahai Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang.

0 Response to "Hebatnya Malam Lailatul Qadar"

Post a comment